Cara Mendapatkan Geran Probet


Permohonan Geran Probet

Geran Probet seperti yang di dalam entri yang lepas adalah satu dokumen yang perlu dipohon oleh Wasi (orang yang dinamakan di dalam wasiat) di Mahkamah Tinggi.

Antara dokumen yang diperlukan oleh Wasi adalah seperti berikut:-

  1. Wasiat asal yang sempurna dan sah (dengan kehadiran saksi yang layak);
  2. Sijil kematian (asal dan salinan) dan kad pengenalan si mati yang telah diakuisah;
  3. Salinan kad pengenalan wasi-wasi; dan
  4. Senarai Aset dan Liabiliti simati.

Dokumen-dokumen yang perlu difailkan secara berperingkat di Mahkamah adalah seperti berikut:-

Bahagian 1
  1. Saman Pemula Ex-Parte (untuk memulakan sesuatu tindakan Mahkamah);
  2. Afidavit Sokongan (untuk menyokong permohonan Saman Pemula yang mana akan diekshibitkan dokumen-dokumen yang dinyatakan di atas);
  3. Afidavit Menyaksi Wasiat (diikrarkan oleh 2 orang yang menjadi saksi ketika wasiat ditandatangani);
  4. Notis Perlantikan Peguamcara
Setelah pemfailan Saman Pemula, Mahkamah akan memberikan nombor guaman dan tarikh pendengaran untuk proses seterusnya.  Mahkamah juga akan membuat semakan samada wasiat yang disertakan pernah digunakan atau tidak sebelumnya.  Hanya wasiat yang belum berdaftar sahaja yang boleh diproses.

Mahkamah seterusnya akan meminta untuk dokumen asal seperti Sijil Mati Asal dan Wasiat Asal diserahkan ke Mahkamah sebelum tarikh pendengaran yang telah ditetapkan.

Setelah pendengaran Mahkamah akan mengeluarkan satu notis bayaran dan meminta untuk dikemukan dokumen-dokumen lain seperti berikut:-

Bahagian 2
  1. Sumpah Pentadbiran;
  2. Notis Perlantikan Peguamcara (sekiranya belum difailkan dibahagian 1);
  3. Senarai Aset dan Liabiliti; dan
  4. Senarai Benefisiari (Waris).

Setelah Mahkamah berpuashati dengan dokumen yang dikemukakan dan setelah bayaran Pengeluaran Geran & Engrossing dijelaskan barulah Mahkamah akan mengeluarkan satu Geran Probet yang dimeterai.  Geran Probet yang lengkap terdiri daripada (1) Grant of Probate yang dikeluarkan oleh Mahkamah; (2) Wasiat; (3) Senarai Aset & Liabiliti; (4) Senarai Waris.    


Kos Pemfailan Dokumen di Mahkamah


1.

Saman Pemula Ex-Parte   

RM160.00

2.

Afidavit-afidavit               

RM  16.00 (setiap satu)

3.

Notis Perlantikan Peguam   

RM  16.00

4.

Notis Pengeluaran Geran

RM400.00

5.

Engrossing

RM  40.00

6.

Sumpah Pentadbiran

RM  16.00

7.

Senarai Aset & Liabiliti

RM  16.00

8.

Senarai Waris

RM  16.00

 

Lain-lain kos

Setiap afidavit perlu diikrarkan dihadapan Pesuruhjaya Sumpah yang mana cajnya telahpun ditetapkan.

Afidavit Sahaja:  Asal (RM10.00) dan salinan (RM5.00)

Ekshibit / Lampiran:  Asal (RM5.00) dan salinan (RM2.00) bagi setiap ekshibit.


Secara kasarnya disbursement (tidak termasuk caj peguamcara) untuk mendapatkan Geran Probet adalah sekitar RM800.00.  Kos ini boleh ditolak dari harta pusaka kelak.

Setelah Geran Probet diperolehi, barulah Wasi boleh ke jabatan-jabatan lain, bank, KWSP dan sebagainya untuk memulakan proses memindahkan, mengeluarkan, membahagikan harta-harta seperti yang telah diwasiatkan.

Post a Comment

14 Comments

  1. Terima kasih share Ammi. Ni nak kena baca betul betul dan faham :)

    ReplyDelete
  2. perkongsian yang berguna kak, tq

    ReplyDelete
  3. terima kasih perkongsiannya. bagus ni.. ni lah first time pun dengar perkataan PROBET (ingatkan bahasa pasor english untuk pervert haha)

    ReplyDelete
  4. kena baca dan faham ni
    bab2 cmni ciknur adoiii memang failed
    tp kena ambik tahu kn
    ada tnh yg arwah pak kongsi adikberadik

    ReplyDelete
  5. Dahulu masa study ada ambil subjek probate. Tak pernah terlintas apabila dalam BM jadi comel - probet :)

    ReplyDelete
  6. Kita baru tahu apa itu probet. Menarik perkongsian ni.Tq Ammi.

    ReplyDelete
  7. Notis pengeluaran geran probate tu kena fail atau mahkamah yang keluarkan

    ReplyDelete
    Replies
    1. Notis akan dikeluarkan oleh pihak Mahkamah dan diberikan pada peguam pada hari pendengaran. Peguam kemudian perlu menggunakan notis tersebut dan buat bayaran sebanyak 400+40 di sistem e-filing

      Delete
  8. Notis pengeluaran geran probate and Engrossing tu kena fail ke atau terus dikeluarkan oleh mahkamah untuk bayaran selepas pendengaran ??? tak faham

    ReplyDelete
    Replies
    1. Notis Pengeluaran Geran tu pihak Mahkamah yang keluarkan. Akan diserahkan pada peguam pada hari pendengaran ataupun sekiranya pendengaran melalui atas talian, notis akan diemelkan pada peguam. Notis tu cuma macam sekeping kertas yang atas tu tulis apa perlu dibayar..apa next kena buat. Lawyer akan biasanya guna notis tu dan buat bayaran secara e-filing (atas talian) sebab tiada borang lain.

      Selepas bayaran untuk notis pengeluaran geran & engrossing (RM440.00) dibuat baru pihak Mahkamah akan keluar Geran Probet yang termeterai yang kita boleh bawa ke bank, pejabat tanah dsb.

      Harap penjelasan saya membantu. Sila berhubung dengan peguamlah untuk memudahkan proses

      Delete
  9. boleh saya tau berapa lama masa boleh dapatkan geran selepas buat pembayaran notis pengeluaran geran melalui efiling?

    ReplyDelete
  10. Terpaksa ke appoint peguam untuk memohon Geran Probet? Boleh tak wasi buat permohonan sendiri?

    ReplyDelete