Pandemik Covid-19 telah memberi impak yang sangat buruk terhadap ekonomi bukan sahaja di Malaysia malahan seluruh dunia. Sektor hartanah adalah salah satu sektor yang teruk terjejas akibat daripada ketidakmampuan pembeli untuk membeli dan melabur.

Namun terdapat juga segelintir yang masih berkemampuan atau berkeinginan untuk membeli rumah kedua. Rumah kedua dibeli sebagai rumah kediaman untuk diduduki sendiri mahupun sebagai pelaburan masa hadapan.

Sebelum kita bertindak menghubungi agen mahupun pihak bank adalah baik kiranya kita buat sedikit “checklist” untuk pastikan, adakah kita berada ditahap LAYAK untuk memiliki rumah kedua.


Tujuan


Pertama sekali, kita perlu tahu apa tujuan kita membeli rumah rumah kedua tersebut.

Sekiranya dibeli untuk didiami sendiri, kita perlu pastikan ianya memenuhi keperluan keluarga. Sekiranya dibeli bagi tujuan pelaburan, kita perlu pastikan ianya mencapai objektif.


UNTUK DIDIAMI SENDIRI

Ikut Kemampuan


Bagi mereka yang memang mempunyai pendapatan tetap yang kukuh, tidak ada masalah bagi mereka untuk membeli seberapa banyak hartanah sekalipun. Namun bagi golongan pertengahan, kemampuan kewangan adalah antara perkara yang perlu dititikberatkan.

Mampukah membayar ansuran pinjaman? Berapa yang mampu di'allocate' untuk rumah kedua? Cukupkah baki gaji sekiranya berlaku sebarang kerosakan yang memerlukan pembaikan? Cukupkah baki gaji untuk membayar cukai yang dikenakan oleh badan-badan berwajib? Takut-takut nanti sibuk dok bayar hutang, perut sendiri dan keluarga perlu diikat. Kalkulator Mortgage Affordability ni boleh digunakan untuk nak lihat kelayakan dan kemampuan kita. Takkan nak makan mi segera je kan. Mi segera pun dah mahal sekarang ni.


Persekitaran


Sebelum mengambil keputusan untuk membeli rumah kedua untuk didiami sendiri, kita perlu pastikan persekitarannya. Perlu dipastikan agar terdapat kemudahan-kemudahan yang berhampiran contohnya sekolah, hospital, kedai runcit, pasaraya, balai polis dan sebagainya bagi memastikan kita tidak perlu menghabiskan masa di atas jalan raya yang selanjutnya perlaku pembaziran dari segi masa, bahan bakar (minyak kereta).

Perlu juga dipastikan hartanah tidak terlalu berhampiran dengan kawasan perindustrian bagi mengelakkan pencemaran. Sudahlah waktu berada diluar kita terdedah dengan pencemaran udara, pencemaran bunyi bayangkan jika rumah kita berhampiran dengan kilang. Disana bising, disini busuk. Arghhhh stress!


Jarak dengan tempat kerja


Jangan gelojoh bayar duit “booking” beli rumah. Tengok dulu kawasan perumahan itu dekat ataupun tidak dengan tempat kerja. Sehari dua bolehlah nak travel 40-50km sehari untuk ke tempat kerja. Kalau setiap hari? Boleh tahan penat dan boleh tahan mahal kos perjalanan. Jangan dilupakan tol dan minyak dan juga masa untuk diri sendiri ye.


Privasi


Ada kejiranan yang baik itu BONUS. Jiran yang mengambil berat, yang sentiasa ada sewaktu diperlukan. Tapi macam mana kalau berdepan dengan kelompok jiran “makcik bawang”?

(Foto kredit Shutterstock)



UNTUK TUJUAN PELABURAN


Sekiranya kita berkira-kira untuk membeli rumah kedua bagi tujuan pelaburan, ini antara perkara yang perlu dititikberatkan.


Lokasi


Kita kena tentukan siapakah penyewa sasaran. Bujang, pelajar, pekerja kilang, warga asing, ekspatriat, orang yang telah berkeluarga. Semua ini memainkan peranan dalam pemilihan lokasi. Sebab takkanlah rumah yang kita beli tu berada di unit SOHO, SOVO tapi kita sasarkan pada warga asing dengan pendapatan rendah.

(Foto kredit Shutterstock)


Pulangan sewa


Berbaloikah harga sewaan dikawasan itu dengan harga ansuran yang perlu dibayar pada bank?  Juga berbaloikah sewa dengan pelbagai jenis "fund" yang biasanya dikenakan oleh pemaju, pihak pengurusan bersama (sekiranya hartanah adalah dari jenis yang "high rise").

Potensi Menaikkan Sewa


Perlu difikirkan juga adakah hartanah yang dibeli ni berpotensi untuk dinaikkan kadar sewanya.  Contohnya kalau hartanah adalah dikawasan "jin bertendang"... mana mungkin penyewa bersetuju untuk kita naikkan harga rumah.  Lainlah kalau hartanah terletak di kawasan yang ada akses kemudahan awam yang banyak, berhampiran dengan pusat bandar dan sebagainya.


Pendek kata, fikir sebelum bertindak!  
Buat kira-kira sebelum terfikir untuk membeli.  Banyak kalkulator yang boleh membantu kita buat kira-kira dan salah satunya  boleh dibuat disini.