FAIL FARAID PERIBADI

Ini adalah perkongsian dari saudara Abdul Rahim Adam di Facebook.  Dengan kebenaran dari beliau sendiri, ammi kongsikan bersama-sama di sini sebagai panduan kita.

(Sumber:  Facebook Abdul Rahim Adam)

Setiap orang mesti ada Fail Faraid Peribadi masing-masing. 

Ianya bertujuan agar waris tahu apa yang perlu diuruskan dari harta peninggalan si mati lebih-lebih lagi sekiranya harta tersebut hendak digunakan untuk melangsaikan hutang si mati (kita). 

Sekiranya dokumen tidak lengkap, ianya akan menyukarkan urusan waris untuk menguruskannya.  Dan paling kita bimbang kalau waris dah "give up" dan malas nak uruskan pusaka kita kerana urusan yang begitu mencabar. 


Jadi,  jom kita tengok apa dokumen yang perlu kita lengkapkan dalam fail ini. 


Dokumen Faraid

1.  Salinan Kad Pengenalan Waris.

Yang layak meneriman faraid sahaja, demi mengelakkan campur tangan waris yang tidak layak dalam pengurusan harta ini.

Contoh, si mati mempunyai anak laki-laki. Maka dalam situasi ini, adik-beradik si mati tidak layak menerima harta tinggalan si mati kerana fungsi anak lelaki menghalang mereka daripada mendapat pusaka.


2. Salinan Dokumen Harta   

Dokumen harta merujuk kepada Geran Tanah, Geran Rumah, Geran Kereta/Motorsikal dan Perjanjian Jual Beli

Banyak berlaku kes yang mana, si mati meninggalkan tanah berkeping-keping dan dalam masa yang sama mempunyai hutang yang banyak.  Tetapi aset tersebut tidak dicairkan untuk membayar hutang si mati kerana waris tak pernah tau pun yang si mati mempunyai tanah. 

Sebab itu, sekali-sekala perlu cerita juga dengan sejelasnya kepada waris akan harta yang kita miliki.


3. Salinan Penyata Bank / Kewangan  

Letakkan salinan-salinan penyata bank supaya sekurang-kurangnya waris dapat menjejaki setiap bank yang mana si mati ada simpanan.

Semua bank peribadi termasuk Tabung Haji, KWSP dan lain-lain.

Sekiranya tiada salinan penyata ini, bank tidak akan membenarkan waris untuk mengeluarkan duit si mati melainkan setelah keluar surat perintah daripada Pejabat Pusaka Kecil.  Ini akan menambah urusan waris untuk berulang-alik kesana kemari.


4. Salinan Harta-harta lain 

Takaful perlindungan peribadi, auto-life takaful (kereta), MRRT (takaful untuk rumah), saham-saham di syarikat-syarikat yang tersenarai dan lain-lain.


5. Senarai Hutang (2 Jenis) 

5.1  Hutang dengan Allah 

✓ Badal haji 

✓ Zakat yang tertunggak 

✓ Fidyah puasa

✓ Nazar & lain-lain


5.2 Hutang dengan Manusia

✓ Hutang rumah

✓ Hutang kereta

✓ Hutang peribadi (samada dengan bank ataupun individu)

✓ Kad kredit

✓ Hutang dengan kawan

✓ Hutang dengan mak ayah

✓ Hutang dengan adik-beradik

✓ Hutang sewa rumah tertunggak

✓ Nafkah anak atau bekas isteri yang tertunggak

✓ Hutang mas kahwin (yang ditangguh sewaktu berkahwin)

✓ Saman Parking

✓ Saman AES/Speedtrap

✓ Bil-bil utiliti yang tertunggak (elektrik, air, internet, Astro, penapis air dan lain²)


Nota Tambahan

Jika sekiranya kita ada berhutang dengan sahabat kita suatu jumlah yang agak banyak, maka seeloknya kita masukkan nombor telefon sahabat kita dan juga nombor telefon warisnya sekali. Selitkan gambar pemiutang sekiranya ada pun bagus juga.

Bukan apa, sekadar langkah-langkah berjaga-jaga. Andai kata ditakdirkan kita dan sahabat kita mati serentak, senang waris kita terus berhubung dengan waris pemiutang untuk bantu langsaikan hutang kita. 


6.  Pesanan Buat Waris 

✓ Contohnya wasiat 1/3 harta fi sabilillah sebagai pencen kubur.

✓ Asingkan harta yang telah dihibah, lantik pentadbir untuk urus faraid & lain²

✓ Pesan pada waris untuk segerakan pengurusan harta pusaka kerana bimbang berlaku kematian berlapis.


7. Struktur Faraid Peribadi  

7.1  Lakarkan siap-siap supaya waris tahu dan faham bahagian masing-masing dan mudah-mudahan tidak bertelagah.

7.2  Tujuan lain supaya waris tidak termakan harta waris yang lain dengan jalan yang bathil.


SEMOGA BERMANFAAT BUAT UMMAT. 🤲🏻

Terima kasih di atas perkongsian yang sangat berguna ini saudara Abdul Rahim Adam, dan beliau juga berterima kasih kepada A.F Ustaz Mohd Khusairi Saleh Dif atas tunjuk ajar.